TALAQ 
PENGERTIAN TALAQ
Talaq dari segi bahasa bererti melepaskan ikatan. Dari segi syara‘ ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talaq atau seumpamanya.
Talaq : Perceraian yang dilakukan oleh suami dengan lafaz talak satu, dua atau tiga sama ada secara nyata atau kiasan.
Maka sesudah berlaku talak tiga, rujuk atau kahwin semula tidak boleh 
dilakukan lagi antara suami isteri tersebut. Perkahwinan semula antara 
keduanya hanya dibenarkan jika isteri yang diceraikan itu telah 
berkahwin dengan lelaki lain dan telah melakukan persetubuhan dengan 
suaminya yang kedua dan selepas suami yang kedua itu dengan kerelaan 
sendiri menceraikan isterinya itu.
Ini merujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesudah
 (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga)
 maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia 
berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu jika ia diceraikan (oleh 
Suami yang baru dan habis ‘iddahnya) maka mereka berdua (bekas suami dan
 bekas isteri) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula) jika 
mereka benar-benar yakin dapat menegakkan aturan hukum Allah. Dan itulah
 aturan-aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang (mahu) 
mengetahui dan memahaminya.” (al-Baqarah: 230).
DALIL HARUS TALAQ
Firman Allah subhanahu wata‘ala, Maksudnya: “Cerai
 (talaq) itu dua kali, selepas itu peganglah isteri kamu (ruju‘ dan 
kekallah) dengan cara yang baik atau lepaskanlah dengan cara yang baik.” (Surah Al-Baqarah, 2:229)
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anh yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah menceraikan isterinya Hafsah kemudian Baginda meruju`nya semula.” (Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)
RUKUN DAN SYARAT TALAQ
1.    Suami. Syarat-syarat suami ialah:
Mestilah
 seorang lelaki itu telah menjadi suami melalui perkahwinan yang sah, 
tidak jatuh talaq jika belum berkahwin atau setelah bercerai dan habis 
‘iddah.
 
Hendaklah
 dalam keadaan sedar, tidak jatuh talaq jika sekiranya gila,  pengsan, 
mengigau dan pitam kecuali mabuk yang disebabkan meminum minuman keras 
dengan sengaja.
 
Baligh.
 
Dengan rela hati dan tidak dipaksa, tidak jatuh talaq jika diugut menceraikan isteri.
 
 
 2.    Isteri. Syarat-syarat isteri:
Perempuan yang diceraikan hendaklah menjadi isteri yang sah semasa diceraikan.
 
Talaq akan bertambah lagi jika suami mentalaqkan isteri yang di dalam ‘iddah perceraian talaq satu.
 
 
 3.    Sighah (lafaz). Sighah talaq terbahagi kepada dua:
Lafaz sarih (terang), iaitu yang diucapkan dengan terang dan jelas. Lafaz sarih ini terbahagi kepada tiga ucapan seperti berkata: “Aku ceraikan engkau talaq satu”,  “Aku lepaskan kau” dan “Aku talaqkan kau”. Talaq dengan lafaz yang seperti ini akan jatuh talaqnya walaupun tanpa niat.
 
Lafaz kinayah (lafaz kiasan), iaitu cerai yang dilafazkan menggunakan bahasa sindiran seperti berkata: “Engkau haram atas diriku” atau “Pergilah balik ke rumah emak bapak kamu”. Lafaz kinayah ini akan jatuh talaq jika suami berniat menceraikan isterinya.
 
 
 4.    Qasad (niat).
HUKUM TALAQ
Hukum menjatuhkan talaq pada asalnya diharuskan dalam Islam, tetapi ia akan berubah menjadi:
Wajib: Setelah rumahtangga itu gagal diperbaiki dengan keputusan hakim atau suami telah bersumpah untuk menceraikan isterinya.
 
Haram: Menceraikan isteri semasa isteri di dalam waktu haidh atau ketika suci tetapi baru disetubuhi.
 
Sunat: Jika suami tidak dapat menyempurnakan nafkah batin.
 
Makruh: Boleh menjadi haram jika menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah.
 
 
 
Islam menetapkan hanya suami sahaja yang mempunyai kuasa untuk 
menjatuhkan talaq. Walaubagaimanapun, isteri juga diberikan hak untuk 
memohon cerai dengan cara fasakh atau khulu‘ (tebus talaq).
PEMBAHAGIAN TALAQ
Talaq terbahagi kepada dua jenis iaitu:
Talaq Raj‘i, iaitu talaq yang boleh diruju‘ kembali tanpa perlu akad nikah iaitu ketika isteri dalam waktu ‘iddah (sebelum tiga kali suci daripada haidh).
 
Talaq Ba’in, ia terbahagi kepada dua:
 
 
Ba’in sughra
 ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ oleh suami kecuali diadakan akad 
nikah semula iaitu perceraian sama ada melalui fasakh, khulu‘ atau talaq
 isteri yang belum disetubuhi.
 
Ba’in kubra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ kembali dengan cara biasa melainkan setelah syarat berikut dipenuhi:
 
 

Setelah selesai ‘iddah si isteri.
 
Bekas isteri berkahwin dengan suami lain.
 
Suami lain menyetubuhi bekas isteri itu dan berlaku perceraian.
 
Selesai ‘iddah dari suami yang lain itu.
 
     
FASAKH
PENGERTIAN FASAKH
Fasakh ialah membatalkan atau pembubaran akad nikah disebabkan oleh 
kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang 
selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.
SEBAB FASAKH
Antara sebab yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh yang menghalang perkahwinan tersebut diteruskan seperti
1. Sebab yang merosakkan akad.
Perkahwinan antara muhrim, sama ada sebab keturunan, susuan atau persemendaan.
 
Isteri orang, atau isteri yang dalam tempoh ‘iddah talaq suami pertamanya. 
 
Pernikahan yang dilakukan semasa belum baligh (kecil) dan apabila baligh minta difasakhkan akad itu. 
 
Wali fasiq atau 
 
Saksi fasiq (akad tidak sah sejak diadakan), 
 
Murtad salah seorang daripada keduanya (akad terbatal)
 
 

2. Sebab yang mendatang selepas pernikahan.
Salah seorang daripada suami atau isteri itu murtad 
 
Pasangan suami isteri bukan Islam semasa bernikah dan salah seorang memeluk Islam. 
 
Akad
 Nikah sah tetapi difasakhkan oleh qadhi atas tuntutan isteri sama ada 
kerana suami berpenyakit (dalam kes ini perkahwinan tidak boleh 
dibubarkan selagi tidak dibicarakan dan diputuskan oleh qadhi atau hakim
 Mahkamah Syariah), 
 
Tidak kufu’, 
 
Suami tidak mampu membayar mahar (pemberian wajib daripada suami kepada isteri) atau 
 
Suami tak mampu beri nafkah (mengeluarkan belanja kepada mereka yang berada di dalam tanggungan) atau 
 
Berlaku
 kesukaran di pihak isteri kerana suami hilang, suami dipenjara, suami 
menyakiti isteri secara keterlaluan (penderaan fizikal dan mental) atau 
sebagainya. 
 
Suami telah melakukan salah satu perkara yang diharamkan sebab persemendaan seperti berzina dengan ibu mertua 
 
Enakmen 
Undang-Undang Keluarga Islam [Negeri Melaka 2002, Seksyen 53] menambah 
lagi sebab-sebab yang menyebabkan berlakunya fasakh seperti di bawah 
ini:
 
Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih dari setahun.
 
Suami cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan.
 
Suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.
 
Suami telah tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama tempoh satu tahun.
 
Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami mati pucuk.
 
Suami telah gila selama tempoh dua tahun, sedang mengidap penyakit kusta atau sedang mengidap penyakit kelamin yang boleh berjangkit.
 
Isteri telah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum dia mencapai umur enam belas (16) tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas (18) tahun dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu.
 
Walaupun empat bulan berlalu perkahwinan itu belum disatukan kerana suami atau isteri bersengaja enggan bersetubuh.
 
Isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah sama ada dengan sebab paksaan, kesilapan, ketidak sempurnaan akal atau lain-lain hal yang diakui oleh hukum syara‘.
 
Suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, iaitu antaranya:
 
1. Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan  kelakuan aniaya.
2. Berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup keji mengikut pandangan hukum syara‘.
3. Cuba memaksa isteri hidup secara lucah.
4. Melupuskan harta isteri atau suami 
atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan hak-haknya di 
sisi undang-undang terhadap harta itu.
5. Menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya.
6. Jika suami mempunyai isteri lebih 
daripada seorang, dia tidak melayani isterinya secara adil mengikut 
kehendak-kehendak hukum syara‘.
 
  
HIKMAH FASAKH
Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya mereka teraniaya.
 
Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki secara mutlak oleh suami sahaja.
Menunjukkan keunggulan syari‘at Allah subhanahu wata‘ala yang Maha Mengetahui akan keperluan hambaNya.
 
 
KHULU’ (Tebus Talaq)
PENGERTIAN KHULU‘
Khulu‘ dari segi bahasa bererti melepas atau menanggalkan. Manakala dari segi syara‘ pula ialah perceraian daripada suami ke atas isteri dengan tebusan yang diterima oleh suami.
Contohnya suami berkata “Aku talaqkan kamu dengan bayaran sekian banyak” atau isteri berkata: “Aku menebus talaq ke atas diriku dengan bayaran sekian banyak”.
Khulu’ : Ia juga dikenali sebagai ‘Tebus Talaq’
 yang bermaksud pembubaran perkahwinan yang diperolehi oleh seorang 
isteri dengan membayar kepada suaminya dengan sesuatu benda yang 
berharga di mana kadar benda tersebut adalah berdasarkan persetujuan 
antara suami dan isteri berkenaan atau berdasarkan kepada keputusan 
qadhi. Ini dikira sebagai ganti rugi-kepada suami berkenaan.
Hal ini adalah berdasarkan pengertian yang diambil dari sebuah hadis 
Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas RA bahawa isteri Thabit 
bin Qais telah datang berjumpa Rasulullah SAW lantas berkata “wahai 
Rasulullah, saya hendak meminta cerai dari suami saya dan tidak ada 
cacian terhadapnya tentang perangainya dan keagamaannya tetapi saya 
bencikan sifat kekufuran yang ada padanya sedangkan saya seorang Islam.”
 Maka sabda Rasulullah SAW “Adakah engkau bersedia mengembalikan 
kebunnya yang telah diberikan kepada kamu sebagai mas kahwin?” Jawabnya:
 “Ya saya bersedia.” Lalu baginda menyuruh Thabit bin Qais menerima 
kembali kebunnya dan menceraikan isterinya. Maka Thabit menerima 
perintah baginda dan diceraikan isterinya. (Bukhari dan an-Nasa’i)
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan
 tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu 
berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika 
keduanya (suami dan isteri) takut tidak dapat menegakkan peraturan hukum
 Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang
 diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan 
suami tentang bayaran itu).  Itulah peraturanperaturan hukum Allah, maka
 janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar 
peraturan-peraturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang 
zalim.” (al-Baqarah: 229)
Secara umumnya apa sahaja yang boleh dijadikan mahar (mas kahwin) boleh 
dijadikan bayaran khulu’. Iaitu setiap barang yang bernilai atau 
mempunyai manfaat dan ditentukan secara pasti tentang benda dan faedah 
yang hendak digunakan sebagai bayaran khulu’ tersebut.
Nafkah yang wajib ke atas suami kepada isterinya atau nafkah anak kecil 
yang berada di bawah jagaan ibu atau bayaran susuan dan jagaan anak 
dengan ditentukan jangka waktunya juga boleh dijadikan bayaran khulu’ 
dari isteri. Dengan ini nafkah yang wajib dibayar oleh suami tidak perlu
 lagi dibayar dan ia ditanggung sendiri oleh isteri.
Di antara kesan khulu’ ialah bekas suami tidak boleh rujuk kepada bekas 
isterinya, bekas suami tidak boleh menambah talaq ke atas bekas 
isterinya, bekas suami tidak boleh menambah talaq ke atas bekas 
isterinya dalam waktu ‘iddah dan suami juga tidak boleh berkahwin dengan
 bekas isterinya kecuali dengan akad dan mas kahwin yang baru.
Iddah bagi isteri yang dikhulu’ adalah sekali haidh dan pembubaran 
menerusi khulu’ ini boleh dilakukan pada bila-bila masa iaitu waktu suci
 atau waktu isteri sedang haidh.
Maka berdasarkan khulu’ ini inisiatif untuk perceraian datang dari pihak
 isteri sendiri dan alasan yang boleh diterima oleh syarak. Namun dalam 
hal ini mana-mana suami adalah dilarang menggunakan kesempatan untuk 
bertindak menimbulkan kesukaran kepada isterinya bagi mendapat khulu’ 
daripadanya kerana dalam kes begini ahli feqah berpendapat khulu’ adalah
 batal dan bayaran tebus talaq dipulangkan kepada si isteri semula.
DALIL PENSYARI‘ATAN KHULU‘
Firman Allah subhanahu wata‘ala, maksudnya: “Talaq
 (yang boleh diruju‘ kembali) hanya dua kali. Sesudah itu peganglah 
(ruju‘) atau lepaskan (cerai) dengan cara yang baik. Dan tidak halal 
bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka 
(isteri yang kamu ceraikan) kecuali jika keduanya takut tidak dapat 
menegakkan peraturan-peraturan hukum Allah. Oleh itu, kalau kedua-kedua 
kamu khuatir maka tidaklah berdosa tentang bayaran balik (tebus talaq) 
yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.” (Surah Al-Baqarah, 2:229)
 SYARAT SAH KHULU‘
Suami: Baligh, berakal, mukhtar (bebas) melakukan khulu‘ bukan dipaksa.
 
Isteri: Hendaklah seorang yang boleh menguruskan harta dan mukallaf.
 
Lafaz khulu‘: Hendaklah disebut dengan terang.
 
Bayaran khulu‘: Hendaklah dijelaskan dengan jumlah yang tertentu.
 
 
Peringatan:
Walaupun isteri mempunyai hak untuk memohon fasakh dan khulu‘, tetapi Rasulullah SAW menuntut agar ia tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga. (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)
TA’LIQ
PENGERTIAN TA‘LIQ
 
Ta‘liq
 ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan 
jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.
Ta’liq : iaitu menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Sekiranya kau pergi ke tempat tertentu maka kau tertalaq.”
Perceraian tidak berlaku semasa suami melafazkan ta’liq tetapi hanya 
berlaku sekiranya syarat yang disebut dalam lafaz ta’liq tersebut 
dilanggar.
Di Malaysia cerai ta’liq ini adalah suatu bentuk perceraian yang biasa 
diamalkan. Selepas akad nikah seseorang suami dikehendaki melafazkan 
ucapan ta’liq dan menandatangani surat ta’liq di hadapan juru nikah.
Contohnya seperti di Wilayah Persekutuan, lafaz ta’liq tersebut adalah: 
“Bahawa
 adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat 
bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan 
saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang 
tersebut pada hal atau saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh 
badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada 
Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada 
ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu” 
 
[Akta
 Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Kaedah-kaedah 
Keluarga Islam (borang dan Fee) 1985 (seksyen 134(3)]
SYARAT TA‘LIQ

Suami - Hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata ta‘liq.
 
Belum berlaku - Hendaklah ta‘liq ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.
 
Isteri - Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).
 
 
 
Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.
Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.
PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI TA‘LIQ
Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, 
Seksyen 50, seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak memohon 
penceraian menurut syarat-syarat ta‘liq yang dibuat selepas akad nikah. 
Kandungan lafaz ta‘liq tersebut :

Meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut.
 
Tidak memberi nafkah yang wajib selama empat bulan berturut-turut.
 
Menyakiti tubuh badan isteri.
 
Suami tidak mempedulikan isteri selama tempoh empat bulan berturut- turut.
 
      
 

 
 
LI’AN
PENGERTIAN LI‘AN
Li‘an berlaku apabila terjadinya qazaf iaitu suami menuduh isterinya berlaku zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh isterinya sebagai anak.
Li‘an ialah sumpah
 seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa mempunyai 
empat orang saksi kecuali dirinya sahaja, maka hendaklah dia bersumpah 
empat kali “bahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.
Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.
Li’an : Ianya berlaku apabila seseorang suami bersumpah menuduh 
isterinya melakukan zina dan isterinya juga bersumpah menafikan tuduhan 
suaminya itu.
Firman Allah subhanahu wata‘ala: “Adapun
 orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi 
(empat orang) kecuali hanya dirinya sahaja maka persaksian bagi orang 
yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak 
empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan
 yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan 
untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si
 isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan 
yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.” (Surah An-Nur, 24:6-9)
KESAN LI‘AN
Berdasarkan Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 menegaskan bahawa: “Jika
 pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan 
cara li‘an mengikut hukum syara‘ di hadapan seorang hakim syar‘i, atas 
penghakiman, maka hakim syar‘i itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya.”
Mengikut peruntukan hukum syara‘, sekiranya yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan.
 Manakala jika isteri yang dituduh pula tidak menolak tuduhan suaminya, 
maka dia akan dikenakan hukuman sebagaimana orang yang berzina kecuali 
kedua-dua mereka bersumpah dan melakukan li‘an.
Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li‘an, maka ikatan 
perkahwinan mereka suami isteri akan terputus sama sekali dan mereka 
diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya.
Ibnu ‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Suami
 isteri yang melakukan li‘an apabila mereka berdua berpisah, kedua-dua 
mereka tidak boleh berkumpul (berkahwin) untuk selama-lamanya.(Riwayat Daruqutni)
ILA’
Iaitu apabila seseorang suami
 bersumpah dengan nama Allah SWT atau dengan menyebut sifat Allah SWT 
untuk tidak bersetubuh dengan isterinya selama empat bulan atau lebih 
atau dengan tidak menyebut tempoh masa. Tujuannya untuk bagi isteri merana dan susah. Perbuatan ini haram kerana menyeksa jiwa manusia.
Firman Allah SWT yang maksudnya: “Kepada
 orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka, 
diberikan tempoh untuk empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali 
(mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha 
Mengasihani. Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talaq 
(menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha 
Mengetahui.”  (al-Baqarah: 226-227)
Saidina Ali radiyaLlahu 'anhu berkata : Apabila
 seorang lelaki melakukan ila' terhadap isterinya, talaknya tidak jatuh 
walaupun telah berlalunya empat bulan selagi si suami belum memutuskan 
samada menceraikan isterinya atau dia menarik balik sumpahnya (iaitu 
dengan rujuk kepada isterinya dan menyelesaikan kafarahnya) (Riwayat
 Malik rahimahuLlah dalam al Muwatta' dalam kitab talak, bab ila' nombor
 2/556. Hadis yang seumpama ini juga diriwayatkan daripada Ibnu Umar 
radiyaLlahu 'anhu.
Hukum Ila'
Jika suami bersumpah tidak akan bersetubuh dengan isterinya secara 
mutlak atau selama lebih daripada empat bulan, beliau telah melakukan 
ila' terhadap isterinya. Terdapat beberapa hukum syarak berkaitan dengan
 ila' tersebut :
Hakim hendaklah memberi peluang selama 4 bulan kepada suami bermula dari
 hari ia bersumpah. Ini akan memberi peluang kepada suami untuk menarik 
balik sumpahnya dan membayar kafarah sumpah atau menceraikan isterinya
Jika dia tidak mahu rujuk dan tidak mahu membayar kafarah sumpah, hingga
 tempoh 4 bulan tadi tamat, dan suami tetap dengan sumpahnya, maka 
ketika itu, hakim berhak mengambil salah satu tindakan berikut :
Memaksa suami menarik balik sumpahnya dan kembali menyetubuhi isterinya serta membayar kafarah sumpah, jika dia bersumpah dengan nama Allah atau bersumpah dengan salah satu sifat Allah. Jika dia bersumpah untuk melakukan sesuatu atau bersedekah dengan sesuatu, dia hendaklah melakukannya.
 
Memaksa suami menceraikan isterinya jika dia enggan menarik balik sumpahnya dan tetap berpegang dengan sumpahnya.
 
 
 
Sekiranya suami enggan melakukan salah satu daripada perkara di atas,
 maka hakim berhak menjatuhkan talaq satu bagi pihaknya. Itu adalah hak 
hakim untuk mengelakkan kemudaratan berlaku kepada orang lain dan tidak 
ada cara lain melainkan dengan hakim menjatuhkan menjatuhkan talak bagi 
pihaknya. Ketika itu hakim menggantikan tempat suami dalam menjatuhkan 
talak. Masalah ini sama dengan masalah membayar hutang dan menjelaskan 
hak-hak yang berbentuk harta.
Tindakan tersebut dilakukan jika suami tidak mempunyai keuzuran yang 
menghalangnya daripada melakukan persetubuhan. Jika suami mempunyai 
keuzuran seperti sakit atau sebagainya, dia hendaklah diminta menarik 
balik sumpahnya dengan lidahnya sendiri seperti ia berkata : "Jika aku mampu bersetubuh aku akan menarik balik pendirianku dan sumpahku"
KIFARAH SUMPAH
Merdekakan seorang hamba yang mukmin, atau
 
Memberi makan kepada 10 orang fakirmiskin sehingga kenyang, atau
 
Memberi pakaian kepada 10 orang fakirmiskin, jika tidak mampu
 
Berpuasa tiga hari.
 
  
 
 
Sila rujuk ayat 89 surah al maaidah yang bermaksud : ...maka
 kafaratnya ialah Memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan 
yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, Atau 
memberi pakaian untuk mereka, Atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian 
sesiapa yang tidak dapat (menunaikan tiga pilihan kafarat di atas), maka
 hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah kafarat 
penebus sumpah kamu...
Setiap orang miskin (yang 10 orang tu) mesti diberikan secupak beras 
(3/4 cupak Malaysia). Mesti diserahkan kepada setiap orang fakir atau 
miskin. Tidak boleh bawa mereka belanja makan di kedai, juga tidak boleh
 ditukarkan kepada wang.
ZIHAR
Iaitu apabila seseorang suami itu menyamakan belakang isterinya dengan belakang ibunya (atau orang yang diharamkan berkahwin dengannya). 
Maksudnya menyamakan isteri dengan emaknya sendiri tentang haram disetubuhi (macam sudah cerai). 
Maka
 jika selepas dia berkata demikian tiba-tiba dia diam tidak diringi 
dengan talaq atau cerai dalam masa kira-kira sempat berbuat demikian, 
nescaya dinamakan Zihar.
Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Orang-orang
 yang ziharkan isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang 
bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu 
mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. 
Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan 
suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah) Allah Maha Pemaaf 
lagi Maha Pengampun.” (al-Mujadalah: 2)
RUKUN ZIHAR
1.     Suami
2.     Isteri
3.     Perkara yang diserupakan
4.     Lafaz zihar
Untuk mensabitkan rukun ini, beberapa syarat berikut mesti difahami. Syarat yang disepakati oleh jumhur ulama :-
Anggota-anggota yang haram dilihat oleh sesama mahram.
Contoh punggung, perut, kemaluan, tangan, kepala, kaki, rambut, dan  lain-lain . 
 
 
 
Demikian pandangan kebanyakan ulama, Ulama Hanbali dan Maliki mensabitkan seluruh anggota sama ada haram dilihat mahupun tidak, semuanya boleh mensabitkan zihar (Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 9/7173) Pandangan yang rajih adalah pandangan jumhur.
 
 
 
Mestilah anggota-anggota ini daripada wanita yang diharamkan 
 
berkahwin dengan si lelaki samaada tahrim secara berkekalan (muabbad) atau keturunan (nasab) atau susuan dan musoharah. Seperti Ibu, Anak, Adik beradik, Pak cik, Mak cik dan lain-lain yang berkaitan.
 
 
 
 
Inilah pandangan mazhab utama, juga pandangan Hasan al-Basri, Ato Abi 
Rabah, As-Syabi, An-Nakhaie, Al-Awzaie, at-Thawry, Ishak Rahawaih, Abu 
Ubaid, Abu Thaur.
Pandangan Imam Syafie dalam 'Qawl Qadim': Tidak jatuh zihar terhadap semua wanita kecuali ibu dan nenek sahaja kerana ayat berkenaan zihar itu ditujukan khas untuk ibu. Tetapi 'Qawl Jadid' Imam Syafie meminda ijtihadnya dengan mengatakan jatuh zihar kerana wanita yang diharamkan tadi menyerupai pengharaman ibu (al-Muhazzab, As-Syirazi dan al-Majmu, 19/45)
Manakala yang tidak muabbad seperti wanita asing, adik beradik perempuan
 bagi isteri dan lain-lain. Tidaklah penyerupaan dengan mereka dianggap 
zihar. (Lihat Al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah 4/500; Ad-Dusuqi ala 
syarh al-Kabir 2/439; Ashal al-Madarik 2/169; Kifayatul akhyar 2/71)
Ulama Maliki menambah bahawa binatang juga termasuk dalam kategori yang 
tidak boleh disamakan. Kerana asalnya manusia tidak boleh berhubungan 
jenis dengan binatang.
Ulama Maliki juga mensabitkan zihar kiranya menyamakan rambut isteri 
dengan rambut ibu. Manakala jumhur tidak berpandangan sekian. (Ad-Dusuqi
 ala syah al-Kabir, 2/439)
Syarat yang diperselisihkan :- 
Mestilah diserupakan dengan anggota wanita.
Kiranya
 ditasybihkan dengan lelaki seperti Belakang atau Punggung kamu seperti 
belakang atau punggung bapaku. Ulama Hanafi dan Syafie mengatakan TIDAK 
JATUH ZIHAR.
 
Bagaimanapun
 Ulama Hanbali dan Maliki mengatakan JATUH ZIHAR DENGAN SYARAT 
MENYAMAKAN DENGAN ANGGOTA YANG TIDAK HALAL DILIHAT SEPERTI PERUT, PEHA, 
KEMALUAN, PUNGGUNG dan lain-lain yang seerti.
 
Kiranya
 menyamakan dengan kepala bapa, rambut, hidung dan lain-lain, TIDAKLAH 
DIANGGAP ZIHAR (Lihat ashal al-Madarik 2/170; Juga al-Fiqh ala 
al-Mazahib al-Arbaah, 4/499). Semua mazhab mempunyai dalil 
masing-masing.
 
 
 Ulama Syafiiyyah mengatakan kiranya tasybih itu bukan pada bahagian 
haram dilihat tadi, ia bergantung kepada niat, kiranya ia berniat 
memuliakan, bangga maka tidaklah jatuh zihar, jika sebaliknya maka jatuh
 zihar. (Kifayatul akhyar, 2/70)
 4.   Sighah (Lafaz Zihar), Syarat lafaz untuk untuk sabit zihar adalah :-
a. Perlu kepada niat, jika ianya dibuat secara Kinayah (tidak jelas).
Sighah Sorihah (terang, jelas) seperti: Punggung Dinda benar-benar seperti punggung bonda Kanda. Lafaz seperti di atas tidak perlu kepada niat, bahkan jatuh zihar apabila didengari.
 
Sighah Kinayah (tidak jelas) pula adalah lafaz-lafaz yang boleh diandaikan bermaksud zihar tapi mungkin juga tidak seperti: Dinda ni seperti bondaku. Lafaz seperti ini kemungkinan bermaksud zihar kemungkinan juga bermaksud memuliakan, hormat, penghargaan dan lain-lain. Maka ia bergantung kepada niat si suami.
 
 
Lafaz
 ini telah ijma di kalangan ulama tentang sabit zihar. Demikian menurut 
Ibn Munzir ( Lihat al-Majmu Imam Nawawi yang dilengkapkan oleh Syeikh 
Najib al-Mutie, 19/44)
b. Tidak disyaratkan untuk sabit zihar, mesti menggunakan lafaz yang
memberi pengertian semasa.
 
Zihar jatuh dengan lafaz yang membawa pengertian semasa seperti : Punggung Dinda benar-benar seperti punggung bonda Kanda
 
Juga jatuh kiranya diikat dengan waktu tertentu seperti : Kiranya dinda masuk ke rumah itu maka Perut Dinda seperti perut bondaku
 
Jatuh zihar juga kiranya disandarkan ke zaman akan datang seperti :  Awal tahun depan Punggung Dinda mesti macam seperti bonda kanda atau Kanda yakin perut Dinda memboyot seperti perut bonda Kanda dalam masa sebulan.     
 
 
Semua lafaz tadi cukup untuk menjatuhkan hukum zihar. (Rujuk Al-Bidayah al-Mujtahid 2/117; Matolib Uli An-Nuha 5/507 )  
c. Mestilah lafaz tadi disandarkan kepada anggota tubuh wanita samada secara juzu atau sepenuhnya. (Bahagian yang diharamkan lihat tadi tanpa boleh di ihtimal lagi). ( Lihat BadaI as-Sanai , 5/2129 )
 
HUKUM SETELAH JATUH ZIHAR
Setelah cukup syarat dan sabit jatuh zihar maka beberapa hukum berikut sabit
1.    Haram menyetubuhi isterinya (yang diziharkan) kecuali setelah dibayar Kifarah. Ini adalah pandangan jumhur. Menurut tertibnya KIFARAH ZIHAR adalah
Membebaskan seorang hamba yang mukmin, jika tak mampu..
 
Puasa 2 bulan berturut-turut, jika tak mampu..
 
Memberikan makanan yang mengenyangkan kepada 60 orang fakir atau miskin, setiap orang 1 cupak makanan,..
 
jika tak mampu juga makan tetaplah kifarah itu tertanggung keatas dirinya, bila ada kemampuan wajiblah dia sempurnakan seberapa yang terupaya.
 
 
       Dalilnya adalah daripada Firman Allah SWT surah al-Mujadalah ayat 58.
2.    Tidak dibenarkan  istimta (bersedap-sedap, berseronok-seronok), sentuh dengan syahwat sebelum membayar kifarah juga tidak dibenarkan (Tahrim Wasail) di sisi ulama Hanafi dan Maliki ( BadaI as-SanaI, 5/2132; Ashal al-Madarik 2/170) Tetapi ianya harus di sisi ulama Syafie (Lihat Rawdah at-Tolibin 8/270; Fath al-Jawad 2/187; Ianah at-Tolibin 4/37)
Pandangan yang rajih adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail, 
kerana dibimbangi akan tergelincir ke persetubuhan. Pandangan lebih 
selamat bagi fatwa untuk orang awam. Kiranya sangat yakin tidak akan 
tergelincir dan tidak dapat menahan kesabaran hingga dibimbangi 
memudaratkan, maka ketika itu ia menjadi rukhshoh.
Kesimpulan Jawapan Terhadap Soalan (Mengambil Pandangan yang Rajih)
Hanya jatuh (sabit) Zihar sekiranya menyamakan isteri dengan ibu,
- nenek, anak dan semua wanita yang diharamkan suami berkahwin 
 
dengannya secara kekal sama ada secara Keturunan, Susuan mahupun Musoharah.
 
Penyamaan anggota tertentu sahaja yang menyebabkan sabit zihar iaitu Seluruh atau juzuk dari anggota yang haram dilihat semasa mahram. Penyamaan dengan anggota selain itu tidaklah sabit zihar. 
 
Tidak sabit zihar, kiranya menyamakan anggota isteri dengan mana-mana lelaki. Hanya penyamaan dengan wanita sahaja sabit. Begitu juga menyamakan suara, rupa dan sebagainya.
 
Istimta dengan isteri yang telah dizihar sebelum membayar kifarah adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail. Dibimbangi akan terlanjur. 
 
 
 
JUSTERU, MENYAMAKAN RUPA, HIDUNG ISTERI DENGAN RUPA DAN HIDUNG ANAK TIDAKLAH JATUH ZIHAR,
BAGIAMANAPUN MENYAMAKAN PUNGGUNG ISTERI DENGAN PUNGGUNG ANAK PEREMPUANNYA, SABIT JATUH ZIHAR. Walaupun si suami tidak berniat.
Masalah Kejahilan tentang hukum ini,mempunyai perbincangan yang lain yang agak panjang, 
 
0 komentar:
Posting Komentar